top of page

SJKT Ladang Bukit Serampang dipindahkan ke Bukit Indah

Bangunan Lama di Tangkak

Bangunan Baru Di Johor Bahru

TANGKAK: Selepas 83 tahun berbakti memberi pendidikan kepada masyarakat India di sekitar daerah ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Serampang, di sini akan mengakhiri perkhidmatannya apabila lesennya akan dipindahkan ke sebuah SJKT baharu yang akan beroperasi di Bukit Indah, Johor Bahru.

 

Ia berikutan SJKT yang beroperasi pada 1934 itu mengalami masalah kekurangan murid berikutan penghijrahan ramai masyarakat India di situ ke kawasan bandar.

 

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan, berkata keputusan ini dibuat berikutan sekolah berkenaan dikategorikan sebagai sekolah kurang murid berikutan hanya beberapa murid sahaja masih bersekolah di SJKT terbabit.

 

"Atas sebab itu, kita membuat proses pemindahan lesen SJKT Ladang Bukit Serampang ini kepada SJKT baharu di Bukit Indah, yang hampir siap dibina dengan kos hampir RM7 juta dan mempunyai 12 bilik darjah serta kemudahan yang lain.

 

"Kita juga sedang dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan. Selepas mendapatkan CCC, Kementerian Pendidikan akan membuat siasatan dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) akan diedarkan.

 

"Saya difahamkan semua perkara kini dalam proses pelaksanaan. Saya harap kalau tiada halangan, mungkin pada Januari atau Februari depan, semua perkara dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pindah Lokasi SJKT Ladang Bukit Serampang di perkarangan sekolah berkenaan di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk M Asojan dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang juga bekas murid sekolah berkenaan, Datuk T Subromaniam.

 

Majlis sama turut menghimpunkan bekas guru, guru besar dan murid SJKT Ladang Bukit Serampang sejak dari awal penubuhannya hingga kini.

 

Pada majlis itu, bekas warga SJKT turut mencadangkan supaya sekolah baharu kelak dinamakan SJKT Bukit Serampang Indah bagi mengekalkan kenangan dan legasi yang sudah wujud sejak sekian lama.

 

Kamalanathan berkata, pihaknya percaya SJKT baharu di Bukit Indah akan dapat menarik lebih ramai pelajar dan pada masa sama dapat menampung permintaan yang tinggi terhadap kemudahan pendidikan berkenaan.

 

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat SJKT lain yang berdepan kekurangan murid akan dipindahkan lesennya ke sekolah lain, beliau mengakui beberapa sekolah akan turut melalui proses sama.

 

"Saya tidak ada maklumat terperinci mengenainya tetapi memang ada SJKT dalam proses (pemindahan lesen) termasuk di Johor. Selain itu, kita ada sebuah SJKT yang baharu di Johor iaitu di Bandar Seri Alam di Pasir Gudang.

 

"Jika di Johor, kita agak mudah melaksanakannya kerana kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin amat prihatin dengan keperluan ini (membina SJKT).

 

"Kita juga mendapat sokongan yang baik kerana untuk mengenal pasti tapak tanah untuk SJKT ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, manakala kita di kerajaan Persekutuan pula mengeluarkan dana mengenainya," katanya.

JUMLAH PENGUNJUNG

Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Pasukan Web
Hakcipta Terpelihara © 2018 SJK (Tamil) Ladang Bukit Serampang Indah Johor Bahru
Paparan terbaik 800 x 768 dengan Mozilla Firefox 4+ dan Google Crome
Dibangunkan oleh Shahrul Bin Lam

bottom of page